27 August 2008

Anna..sebuah kembara nostalgik.

Aku tidak mengingati berapa lama aku berada di kedaerahan ini.Namun aku pasti waktunya terlalu lama.Kerana rinduku belum reda hilangnya.Setiap inci buminya aku lewati.Dan setiap langkahan aku berhenti merenung panjang pada sebuah kenangan yang lama tersimpan.Kadang-kadang semacam seorang lelaki kurang siuman bila aku berdiri memandang sepi kepada sesuatu tempat yang kuat masih kuingat.

Satu hari aku terima surat terselit di peti surat Masjid Iskandari.Aku dapati namaku tertulis halus dan senyum tiba-tiba terserlah diair mukaku.Ana membalas surat pertama sewaktu aku tiba di sini.Dia tidak menyangka aku datang ke Kroh.Sebenarnya tujuanku ke sini bukan semata-mata mahu bertemu Ana,tapi menziarahi saudaraku dan rakan-rakan yang lama kutinggalkan dulu.

Aku tidak nafikan Ana adalah juga sebahagian dari kembaraan ku sini.Melalui rakannya yang tinggal di Kem Senoi Praaq ketika itu aku berpesan untuk bertemu dengan Ana di Tasik Takung waktu petang.Rakan yang ku panggil Bujang adalah bekas rakan sekelas dengan Ana dan amat mengenali Ana rupanya sebelum itu.

Pada satu petang aku telah bersedia menunggu dengan rasa sedikit keliru.Sanggupkah aku atau aku terlalu mengikut rasa.Aku keliru..Akhirnya aku berdoa supaya Ana tidak jadi datang pada hari itu.Dari arah Rumah Rehat Kroh ,Bujang tiba dengan senyuman.Sebelum itu aku telah meminta Bujang menemani aku untuk bertemu dengan Ana.Aku lihat Ana tidak ada..Bila Bujang tiba di tempat aku duduk (dekat Restoran terapung sekarang) dia maklumkan aku bahawa Ana tidak dapat datang petang itu.Ada hal katanya.Aku tertanya dalam sepi walhal dalam masa yang sama menyembunyikan rasa lega.

Beberapa hari selepas itu aku terima sepucuk lagi surat dari Ana.Dia mengucapkan terima kasih kerana datang sebegitu jauh untuk melihat dirinya.Dia simpati.Akhirnya dia berterus terang bahawa sebenarnya dia telah dimiliki orang.Tunangan orang.Katanya aku sedikit terlewat.Dia telah bertunang dengan seorang anggota tentera di kem berdekatan.Terkilan...???.Andaikata Ana berterus terang dulu aku tidak kisah melupakannya.Kadang-kadang aku terfikir adakah itu alasan mudah atau sememangnya Ana tunangan orang.


Itulah surat terakhir dari Ana.Aku tidak menghubunginya lagi selepas itu.Bujang pun tidak tahu cerita sebenar Ana.Dan aku terus tinggal di Kroh menjejak seorang demi seorang rakanku.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...