23 August 2011

kenangan lalu..rakan-rakan SMTS 1982













Rakan sekelas 3A2




aku terlindung di belakang rakan Ali sebelah kiri foto









ini foto rakan sekelas 5A2 tahun 1982.aku berdiri di belakang


no.5 dari kiri foto.










jadi pustakawan tahun 1982.aku no.1 duduk dari kiri foto..smart jugak aku masa tu.



View Larger Map


terima kasih kepada saudara Zainal Ahmad Wasid bekas rakan sekelas di Sekolah Menengah Tun Saban tahun 1978-1982 atas sumbangan foto-foto ini.Sebahagian foto-foto ini telah hilang dalam simpananku sewaktu aku berkelana dulu...




13 July 2011

kenangan lalu:jujurnya dia

Kisah ini berlaku di rumahku ketika usiaku tiga belas tahun. Ketika itu musim cuti persekolahan kalau tidak silap perkiraanku. Seperti biasa tahun-tahun cuti persekolahan hujung tahun itu sentiasa saja bumi di daerah permukiman tempat tinggalku disirami hujan. Kadangkala lebat sekejap kadangkala tidak terlihat suria hingga ke petang. Suasana lembab dan dingin. Kroh yang sudah diketahui sekitar tahun 1970’an memang suatu daerah yang dingin tambahan musim-musim hujan ketika itu.

Apa yang ingin aku ceritakan adalah mengenai seseorang yang kadangkala terjelma di kotak minda. Cerita tentang seorang gadis sunti yang masih kuingat paras rupanya lewat dulu hingga ke hari ini. Rambut lurus paras bahu, bekulit kuning langsat, matanya yang ala-ala gadis cina, sepet tapi tidak keterlaluan. Cerita tentang seseorang yang boleh kuanggap rakan sepermainan dan aku mengkagumi sifat luhurnya walaupun aku amat penyegan kepada perempuan ketika itu.

Gadis ini berkunjung ke kem PPH BN 19 ketika itu kerana mengikuti saudara terdekatnya yang bertugas sebagai anggota polis BN 19. Apa yang aku tahu dia berasal dari Kampung Kledang sekitar Ipoh. Aku tidak pasti anak saudara siapa tapi sikap mudah mesranya menjadikan dia popular di kalangan kami budak-budak lelaki. Gadis sunti itu berkawan rapat dengan anak jiranku NH yang juga rakan perempuan yang kukenali. NH atau lebih mesra dipanggil Ani pula berkawan baik dengan adikku Sarina (dipanggil Nina) waktu itu. Jadi seringkali mereka bertiga dilihat bersama.

Aku rasa bertuah ketika itu kerana dalam ramai rakan lelaki Z sudi bermain di rumahku sekali. Mungkin kerana dia berkawan baik dengan Ani dan adikku Nina. Jadi tidak hairanlah kadangkala mereka bermain di sekitar rumahku dan rumah Ani. Pada masa yang lain mereka bermain di taman permainan kanak-kanak. Itu terlihat selalu dan kami budak budak lelaki tidak mencampuri urusan dan dunia mereka. Kerana ketika usia sudah mencapai belasan tahun, sudah ada jurang untuk bermain sama. Tidak seperti waktu kanak-kanak dulu. Pun begitu ada juga ketikanya kami bermain sama. Terutama dalam permainan bola tuju-tuju. Dua kumpulan berlainan jenis diasingkan dan saling menghentamkan bola ke tubuh berlawanan jantina jika ada peluang berbuat begitu. Selalu pihak lelakilah yang menang.

Aku masih ingat, satu ketika sewaktu hujan di luar agak lebat. Ibuku sedang menjahit pakaian dengan mesin jahit jenama Singernya, aku dan dua orang rakan, Sam dan seseorang yang tidak kuingat lagi bermain di dalam bilik tidurku sambil berbual-bual. Tiba-tiba muncul Z dan Ani berserta adikku Nina di rumahku. Mereka seronok melihat ibuku menjahit pakaian baru. Sudah tentu jiwa mereka sesuai melihat kerja tangan begitu yang sinonim dengan kaum perempuan. Jangan tak tahu aku juga mahir menjahit pakaian sendiri kerana selalu menolong ibu menggunakan mesin jahit.

Z mengajak Ani mencabar kami yang diketahuinya berada di dalam bilik bermain teka-teki. Oleh kerana kami teruja kerana cabaran (sememangnya budak lelaki pantang dicabar) datang dari budak perempuan, kami menyahutnya dengan penuh sombong. Z seorang gadis sunti yang innocent bagiku kerana mesra dan sifat jujurnya dia kami menerima dan mengalu-alukan ajakannya. Dan kami meminta dia mulakan soalan teka-tekinya untuk kami jawab. Soalannya berbunyi begini.

“Apa dia?, bila kita selak kain nampak kain, kita selak kain lagi nampak bulu, bila kita selak bulu nampak biji.”

Aku pandang wajah Sam, Nan dan rakan yang lain. Begitu juga mereka. Ada riak dan cuak menahan rasa. Aku  malu untuk menjawab. Rasa-rasanya jawaban ku adalah tepat dan pasti. Begitu juga yang lain. Tapi belum lagi jawapan diberi ketawa memecah suasana di bilikku. Z yang tersandar di pintu bilikku bersama Ani dan Nina memandang kami dengan pandangan kosong. Tak tahu apa punca kami ketawa. Ada yang menutup mulut dengan bantalku dan terbaring seronok di atas katil.

“Itu soalan lucah! Kata salah seorang dari kami. Tapi Z menafikan soalannya berunsur lucah. Malah dia terkejut dengan dakwaan rakanku itu. Ibuku pun turut mendengar dengan minat. Aku bagai tidak percaya soalan sebegitu keluar dari mulut seorang anak gadis. Tidak terfikirkah pada masa itu soalannya berbaur lucah. Z menafikan sekeras-kerasnya. Pada kami sudah tentu, pemikiran yang sudah diselaputi dengan pemikiran kuning akan menjawabnya dengan yakin tetapi malu kerana yang menerima jawaban nanti terasa bias jawapan itu adalah perempuan termasuk ibu yang mendengar.

Akhirnya setelah puas berkelahi kami meminta Z memberi jawapan yang sepatutnya. Dengan selamba dia memberi jawapan.

“Jagung!!!”

Dari riak wajah Z aku melihat kejujurannya. Sedikitpun tidak ada rasa bersalah dengan jawapan yang diberi malah bila kami katakan apa yang kami fikirkan jawapannya dia malu mendengar dan tidak mahu lagi bermain teka-teki dengan kami. Aku lihat gadis sunti itu senyum dan jelas sedikitpun tidak terfikir baginya untuk memberi soalan lucah. Itulah kali terakhir dia bertandang ke rumahku. Aku mempelajari sesuatu dari sifat luhur, innocent dari seorang budak perempuan. Jujurnya dia. Itulah pemikiran yang ada pada sebahagian anak-anak gadis zaman itu yang tidak terdedah dengan dunia bebas. Mereka jujur, luhur, suci dari segala bentuk kejahatan jika dibanding dengan sekarang. Dunia kini sudah jauh bezanya.

         Aku melihat watak ini ada bersama anak gadisku yang berusia lapan belas tahun. Dia bolehku katakan jujur kepada orangtuanya kerana apa-apa kemahuannya selalu aku atau isteriku menjadi rujukannya. Jika kukatakan "tidak" dia senyap seribu bahasa tapi mungkin faham alasanku dan tidak mengambil jalan lain di belakangku. Moga-moga dia juga menjadi sanjungan sebagaimana aku pernah menyanjungi kejujuran gadis sunti bernama Z.

06 May 2011

"tidak ada apa yang perlu dimaafkan,semua sudah berlalu."

Kenangan itu telah lama berlalu.Tidak pernah kubawa kesal berpanjangan mengiringi perjalanan hidup ini. Aku tahu mengingati perkara yang silam lantas menyesali setiap kejadian tidak membawa manfaat untuk hidup pada masa hadapan. Telah kusuburkan jiwa ini dengan keyakinan bahawa itu adalah pengalaman yang mendewasakan pemikiran, tindakan dan emosi. Setiap kehidupan manusia tidak pernah sunyi menempuh pengalaman. Proses kejayaan, kita berdiri di dua simpang, kejayaan yang mematangkan diri atau terus menangisi nasib diri.

Biarku nukilkan di sini. Setahun yang lalu aku telah menadah kedua tangan ini pada ketikanya tersedar dari tidur. Selalu aku berdoa supaya rasa bersalah ini ternoktah akhirnya. Ada ketikanya aku bangun mengerjakan solat hajat kerana semata-mata mahu merayu kepada-Nya. Semoga dosaku kepada seseorang diampunkan.Selalu.

Jawapan dari Tuhan tidak lama dan memang itu takdir-Nya juga. Di dunia maya, aku terpandang imej-imej seseorang yang pernah tersimpan jauh di sudut hati. Aku berusaha menghubungi dirinya. Bertanya khabar, tentunya. Cita-citanya menjadi "ustazah" termakbul. Sudah bersuami dan beranak pinak, aku tumpang gembira kerana kebahagian telah menjadi miliknya. Dan paling penting ayat permohonan maaf dari hati ini kerana pernah menyakiti jiwa halus itu telah ku lafazkan sebaiknya.

"Tidak ada apa yang perlu dimaafkan,semua sudah berlalu."Itulah tutur-tutur lembut yang masih kuingat dan menutup ayat terakhirnya kepadaku. Aku kagum pada jiwa yang masih seperti dulu. Cintakan kebajikan. Menjadi ibu kepada enam anak kandung dan ibu kepada anak-anak yatim. SubhanaALlah. kata Nabi.."aku dan pengasih anak-anak yatim umpama ini (au kama qal)..sambil Nabi mendekatkan dua jari terlunjuk dan hantunya.

Dan tentunya kenangan itu sudah terhakis kini meninggalkan bekas. Isinya telah terbang bersama lafaz kemaafan. Terima kasih kerana sudi memaafkan.

Kiranya kesempatan yang Allah berikan kepadaku telah kusempurnakan sebaiknya. Telah kuniatkan bahawa tujuanku hanya ingin memohon kemaafan sebelum semuanya menjadi titik hitam dalam hidup.

Khabar berita yang kuterima dari rakan facebook mengejutkan. Setelah kali terakhir aku berhubung lapan bulan yang lalu. Berita kematian dirinya kuterima pula. tanggal 30/4/2011 yang lalu segala-galanya berakhir. Dia telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan alam nyata ini untuk berada di transit terakhir menuju akhirat.

Terima kasih kepada Mu ya Allah...memberi kesempatan kepada hamba-Mu ini untuk merungkai segalanya. Telah kupohon maaf seperti sebaris doa yang selalu kuulangi dulu. Kau Maha mendengar segalanya.

Kepada keluarga arwah semoga sabar menjadi benteng iman. Kepada rakan-rakan yang mengenali marilah kita sedekahkan al-fatehah. Kita juga akan ke sana satu waktu nanti. InsyaAllah.


29 April 2011

pada setiap bulan penuh.


aku selalu merenung bulan.terbitnya di puncak bukit arah ke timur. selalu ku tunggu. kadang-kadang bulan menyorok di balik pohon-pohon kayu yang memagar.namun cahayanya yang mendamaikan jelas bersinar tatkala sekitar mulai kelam.aku khusyuk di bidai jendela.teman setia yang menanti kekasihnya.terpana kerana lembut sinarnya mendamai jiwa.kerana bila bilangan malam menjadi ganjil 15,aku tahu teman ku akan keluar menyapa di puncak sana.bulat berseri umpama gadis datang menyerah seribu senyuman.

itulah aku.khayal dengan malam yang datang.terbitnya bulan selalu memaut jiwa menjadi pilu dan rawan.kerana malam yang maha indah itu selalu ingin menyerlahkan kerahsiaannya.detik-detik tetap kutunggu.kuning kemerahannya bersinar menyejukkan alam.gah menjadi tatapan makhluk yang resah dan gundah sepertiku.

cahaya bulan,dingin angin yang bersapa selalu menyoal jiwa.siapakah yang terlebih indah di sebalik keindahan ini.itulah aku dulu.merenung dan selalu bertanya kembali.kawan...jika kau dapati aku khayal dengan bulan dan lalu memuji keindahan.aku ingin kau faham bahawa aku memuji keindahan Tuhan.

cerita ini telah lama aku simpan.lama dulu.ketika remaja belasan tahun.waktu itu tinggal di daerah yang sunyi malamnya membuat jiwa selalu mencari.tidak hairanlah kenapa aku suka menyendiri.waktu itu.nostalgia ini memang selalu berulang pada setiap purnama bulan.kini..........

25 March 2011

ambillah iktibar...

Entah apa akan jadi,bumi yang Allah anugerahkan buat hamba-hamba-Nya ini.Semakin hari semakin merata fitnah hasutan, mengadu domba sesama manusia dan paling menyedihkan sesama agama.Pemimpin ikutan rakyat.Yang batil menjadi benar yang haq telah disisihkan.Aku takut terjerumus dalam perangkap-perangkap syaitan ini.Lalu istighfar dan doa sajalah jalannya.

Ambillah iktibar kejadian amarah alam di bumi Jepun.Tidakkah itu tanda betapa tidak sempatnya kita memohon ampun sesama manusia apatah lagi kepada pemilik alam ini.Bagaimanakah nasib kemudian sesudah dibangkit.Sudahnya jika jiwa bukan zikir dan istighfar mainan hati,mana mungkin iman sebagai pembela.

26 February 2011

1982..monolog



Dulu....sering  melintas padang nan tandus. Angin sepoi-sepoi membisik menemani waktu pulang. Lalang-lalang yang meliuk-liuk mesra melambai dan tersenyum. Bagai senyum si gadis di balik kerudung biru. Langit yang cerah kebiruan selalu ku pandang. Jauh di atas sana. Sesekali gumpalan awan yang nipis berlalu mengucap salam. 

Mentari tergantung di tengah langit. Membahang hawa sekitar. Tapi lewat angin yang meneman menyejukkan peluh mendinginkan rasa. Katanya akulah teman yang akan kau ingat sampai mati. Bisikan yang selalu mengundang gundah."cuba kau lihat itu...awan-awan yang berarak, akulah temannya...lalang-lalang di sisi kiri dan kananmu..meliuk mengikut langkahmu akulah temannya juga. 

Dedaunan balik angin di pinggir belukar sana yang melambai. Membalik-balikkan daun hijau dan kuning..aku jualah di situ. Dan aku bawakan satu rahsia hanya untuk mu. Pandanglah sekelilingmu. Dengarkan cetusan dalam dirimu. Siapakah pencipta maha hebat ini. Sehingga kau selalu terpaku, terpesona menikmatinya tanpa jemu. Kini ..aku tahu maksud angin. Dia selalu menyejukkan hatiku. Dan aku akan selalu mengikutinya walau ke mana ia nanti berhenti.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...