Kenangan itu telah lama berlalu.Tidak pernah
kubawa kesal berpanjangan mengiringi perjalanan hidup ini. Aku tahu mengingati
perkara yang silam lantas menyesali setiap kejadian tidak membawa manfaat untuk
hidup pada masa hadapan. Telah kusuburkan jiwa ini dengan keyakinan bahawa itu
adalah pengalaman yang mendewasakan pemikiran, tindakan dan emosi. Setiap
kehidupan manusia tidak pernah sunyi menempuh pengalaman. Proses kejayaan, kita
berdiri di dua simpang, kejayaan yang mematangkan diri atau terus menangisi
nasib diri.
Biarku nukilkan di sini. Setahun yang lalu aku
telah menadah kedua tangan ini pada ketikanya tersedar dari tidur. Selalu aku
berdoa supaya rasa bersalah ini ternoktah akhirnya. Ada ketikanya aku bangun
mengerjakan solat hajat kerana semata-mata mahu merayu kepada-Nya. Semoga
dosaku kepada seseorang diampunkan.Selalu.
Jawapan dari Tuhan tidak lama dan memang itu
takdir-Nya juga. Di dunia maya, aku terpandang imej-imej seseorang yang pernah
tersimpan jauh di sudut hati. Aku berusaha menghubungi dirinya. Bertanya khabar,
tentunya. Cita-citanya menjadi "ustazah" termakbul. Sudah bersuami
dan beranak pinak, aku tumpang gembira kerana kebahagian telah menjadi
miliknya. Dan paling penting ayat permohonan maaf dari hati ini kerana pernah
menyakiti jiwa halus itu telah ku lafazkan sebaiknya.
"Tidak ada apa yang perlu dimaafkan,semua
sudah berlalu."Itulah tutur-tutur lembut yang masih
kuingat dan menutup ayat terakhirnya kepadaku. Aku kagum pada jiwa yang masih
seperti dulu. Cintakan kebajikan. Menjadi ibu kepada enam anak kandung dan ibu
kepada anak-anak yatim. SubhanaALlah. kata Nabi.."aku dan pengasih anak-anak
yatim umpama ini (au kama
qal)..sambil Nabi mendekatkan dua jari terlunjuk dan hantunya.
Dan tentunya kenangan itu sudah terhakis kini
meninggalkan bekas. Isinya telah terbang bersama lafaz kemaafan. Terima kasih
kerana sudi memaafkan.
Kiranya kesempatan yang Allah berikan kepadaku
telah kusempurnakan sebaiknya. Telah kuniatkan bahawa tujuanku hanya ingin
memohon kemaafan sebelum semuanya menjadi titik hitam dalam hidup.
Khabar berita yang kuterima dari rakan facebook
mengejutkan. Setelah kali terakhir aku berhubung lapan bulan yang lalu. Berita
kematian dirinya kuterima pula. tanggal 30/4/2011 yang lalu segala-galanya
berakhir. Dia telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan alam nyata ini untuk
berada di transit terakhir menuju akhirat.
Terima kasih kepada Mu ya Allah...memberi
kesempatan kepada hamba-Mu ini untuk merungkai segalanya. Telah kupohon maaf
seperti sebaris doa yang selalu kuulangi dulu. Kau Maha mendengar segalanya.
Kepada keluarga arwah semoga sabar menjadi
benteng iman. Kepada rakan-rakan yang mengenali marilah kita sedekahkan
al-fatehah. Kita juga akan ke sana satu waktu nanti. InsyaAllah.