22 August 2014

Pertemuan Yang Mendebarkan


Sememangnya aku merahsiakan kenangan bersama rakan pena pada entry yang lalu.Sejak dari permulaan nukilan tidak satupun kuceritakan tentang diri si gadis yang menjadi rakan penaku.Aku telah berutusan surat dengannya bertukar-tukar cerita dan pandangan tentang banyak perkara sejak 1986 hingga 1991.Tapi rahsia ini telah menjadi terlalu peribadi.Ada cerita suka dan pastinya cerita duka.

Pagi itu aku menanti M di Jalan Raja Muda Abd Aziz berdekatan Chow Kit Road.Tidak ingat hari apa tapi pagi itu Kuala Lumpur  tidak sesibuk seperti biasa.Sambil mataku memerhatikan bas Seri Jaya berlalu ke arah kiri di depan ku.Berdebar juga menanti si rakan pena, gadis yang dihubungi sejak enam tahun yang lalu.Tidak sangka sama sekali M berhijrah ke Kuala Lumpur kerana azamnya untuk memulakan perniagaan.Meninggalkan kampungnya jauh di Pantai Timur.Kata M kampungnya berdekatan pantai.Tapi bukan anak nelayan sejati kerana ayahnya mengerjakan ladang pertanian.

M pernah menjadi guru sandaran selama dua tahun sebaik tamat STAM.Ustazah la tu.Tapi tidak berminat di bidang perguruan.Minatnya terarah ke dunia perniagaan.Ahh..tentunya nanti M berjaya membuka perniagaan memandangkan saudara maranya yang ramai pasti akan menyokong.Masih teringat pujukannya agar aku menjadi rakan kongsi menguruskan perniagaan.Aku menjadi lemah seketika mendengar pujukan itu.Belum pernah perasaan itu menjalar ke seluruh tubuhku (waktu itu).Seperti aku tidak bisa menolak lagi rasanya.Namun aku sendiri belum pasti perniagaan apa yang akan diceburinya.Aku hanya bersetuju dan meminta tangguh seketika untuk memikirkannya.

Pada waktu itu aku dapat rasakan bahawa M menyukai dan mempercayai aku.Maklumlah rakan pena yang setia sejak enam tahun yang lalu.Aku ikhlas berkawan dengannya walaupun melalui surat.Sebagai menghormatinya juga aku tidak menyimpan foto-foto yang diberi.Semuanya kupulangkan kembali.Aku hanya ingin mengenali wajah dan susuk orangnya.Peringkat awal dulu M pertikaikan mengapa fotonya dikembalikan.Mungkin dia terasa.Bagiku M, punya raut persis Ustazah Norhafizah Musa.Berkulit cerah dan sederhana orangnya.

Waktu itu nada bahasaku kaku.Mungkin aku masih terkejut.Rasanya tidak ada bahasa berbunga atau gurauan mesra.Segalanya lurus "straight to the point".Aku tidak tahu mengapa terjadinya begitu.Walhal aku telah menulis kepadanya berkali-kali sejak dulu hingga kini (ketika itu) tanpa kehabisan ayat.M pun begitu.

Bas Seri Jaya berlalu satu persatu.Masih menunggu sehingga sebuah bas berlalu laju.Sempat menjengah ke tingkap bas dua gadis yang kupasti dialah orangnya, kerana masing-masing menjenguk ke luar memandangku sepintas lalu.Degup dadaku terasa laju.Kuperhatikan bas itu berlalu dan berhenti jauh di perhentian kedua sepanjang Jalan Raja Muda Abd Aziz.Satu persatu penumpangnya turun.Dan....

Di kejauhan aku lihat dua gadis turun dan memandang kepadaku.Seorang bertudung labuh yang kupasti dialah orangnya.Buat pertama kalinya aku akan bertemu dengan rakan pena.Mereka berdiri sambil berbual dan sesekali memandang ke arahku.Tiba-tiba rakannya berlalu pergi dan hilang di deretan kedai.Tak tahu kenapa.M pula berjalan menuju ke arahku.Hatiku berdegup untuk entah ke berapa kali.Tiap langkah kakinya mendebarkan.Setiba M menghampiri, aku lantas bertanya ke mana arah rakannya tadi.Konon untuk menyembunyikan debaran menatap wajahnya buat kali pertama.Kata M, sepupunya tak jadi menemaninya.Air mukanya semacam cemas.Aduhai..terpaksalah aku berdua dengannya hari itu, bisikku dalam hati.M berdiri di kiriku dengan beg disandang di bahu kanannya.

Aku pun mengajak M ke perhentian bas di Jalan Ipoh.M mengekoriku dari belakang.Kami tidak berjalan seiring.Malu mungkin.Setiba di perhentian, M berdiri di hujung di bawah pokok sementara aku duduk berseorang.Aku mengajaknya duduk sekali tetapi M tak mahu.Segan.Tiba bas yang ditunggu kami pun menaikinya ke arah Gombak.Untuk pertama kalinya aku duduk bersebelahan M.Masing-masing membisu.Lalu aku sempat juga menghulurkan majalah al-Mukminah yang memang kubeli khas untuknya.M masih bungkam kata sementara aku melayan kenangan.Aku tak tahu mengapa tiada sepatah katapun terluah ketika itu.

19 August 2014

1991:Rakan Pena (surat dari si gadis)

Awal tahun 1991:

Saat apabila mengenangkan rakan pena ketika itu membuat aku ingin benar bertemu dan bersemuka.Apalagi surat yang kuterima berserta nombor telefon itu terselit rayuannya meminta pertolongan sekiranya aku sudi.Sudah tentu aku akan membantunya jika termampu.Bagaimana perasaan aku untuk pertama kalinya, bertemu dengan rakan pena yang hanya kukenali melalui surat-suratnya lewat enam tahun yang lalu.Ketika itu aku tidak memiliki lagi foto dirinya .Semuanya telah kukembalikan.Rindu juga ingin menatap potret wajahnya 4 tahun yang lalu.Kadang-kadang terselit rasa itu.Wajah seakan cemas.Tetapi apa yang lebih ingin ku tahu, di mana waktu itu M tinggal.Kuala Lumpur kota besar , anak gadis desa tiba -tiba tercampak di kota ini.Tidakkah seperti menghulur nyawa.Ibarat telur di hujung tanduk.

Aku seperti mendapat kekuatan untuk  membantunya.Kadangkala ayat di suratnya itu seperti mendesak.Aku tahu M pernah menceritakan kesakitannya dulu.Tapi mungkinkah ia begitu parah.Sehingga sejauh ini untuk mengubatinya.Semua itu  mengajak aku segera berjumpa dengannya.Tapi..apabila mengenangkan keadaan diriku yang serba serbinya di luar kemampuan.Aku jadi serba salah.Kehidupanku ketika itu tidak meyakinkan.Bukan dari pandangan  mataku sendiri malah dari pandangan ibu bapa dan adik-adikku.Syukur aku tidak menukar dunia dengan imanku.

Kepulanganku ke kampung semata-mata ingin mencurahkan baktiku terhadap keluarga.Lama benar mereka kutinggalkan.Adik-adikku sudah besar namun penghormatan mereka masih tidak berubah.Aku masih abang yang mereka harapkan.Hampir seminggu langsai juga niat ingin menebas semak samun kebun keluargaku.

Kini (ketika itu) surat daripada M pula menyusul.Ingin segera bertemu.Banyak perkara ingin diberitahu.Sudah beberapa hari M di sekitar Keramat di Kuala Lumpur.Aku jadi terdesak.Rasa ingin melihat dan menatap orangnya  bagaimana.? Rasa ingin mendengar suaranya dan berkata-kata.Selama ini hanya tulisan-tulisan yang tidak bernada.M pula tidak pernah sekali menjelaskan perasaannya tentang diriku.Walaupun sesekali kenakalanku menulis kepadanya.Katanya ..tak akan "bergewe".Noktah.

Untuk kembali ke Kuala Lumpur.Aku tidak punya alasan selain bertemu M.Tapi apa yang membingungkan pada ketika itu.Aku tidak punya wang.Aku masih menganggur.Hanya mengharap ihsan keluarga.Aku hanya menumpang dan tidak lebih dari itu.Tidak mahu meminta-minta dari mereka.Dengan adik beradik yang ramai dan masih bersekolah,aku tidak mahu menyusahkan ibu dan ayahku.Biarkan kufikir sendiri.Jalannya tetap ada.InsyaAllah.

Malam itu aku berfikir jauh bagaimana untuk kembali ke Kuala Lumpur.Ingin mengadu pada ibu untuk meminjamkan wang rasanya aku bukan jenis yang meminta-minta.Apalagi ayahku bukan tempatnya untuk meminta.Cukuplah dia telah "kehilanganku" untuk setahun dua dulu, yang pasti kini ingin kutebus sebanyak-banyaknya.Ayah banyak berdiam bila mengetahui aku telah menganut Islam sejak tahun 1985 lalu.Aku pasti,dia tidak terkejut.Firasat ayah dan ibu selalunya tepat.Akhirnya...satu jalan saja yang membolehkan aku mendapatkan wang untuk ke Kuala Lumpur.Dan seterusnya mungkin aku akan mencari perkerjaan untuk menjamin hidup masa depanku.Ya aku akan mencari perkerjaan tetap.Aku tidak boleh lagi berputus asa.Sebarang kerja juga tidak menjadi persoalan asal saja aku dapat mengamal amalan dalam ajaran agamaku.

Kepada M aku utuskan surat meminta bantuan.Kuceritakan kepadanya bahawa aku kini di kampung dan tidak punya apa-apa pekerjaan.Cuma membantu keluarga menguruskan kebun getah yang lama ditinggalkan.Aku ceritakan kepadanya kesulitan yang sedang aku hadapi.Surat itupun kuutus keesokan harinya.Terpulanglah jika M menerimanya nanti.Aku tidak meletakkan sepenuh harapan.

Selang beberapa hari sepucuk surat dari Kuala Lumpur kuterima.Pastinya surat daripada M.Berkobar-kobar hati rasanya.Tersentak di dalamnya disertakan Wang Pos RM30.00.M meminta aku segera berjumpa dengannya.Ahhh...sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi.Esoknya aku pun memberitahu ibu bahawa aku akan kembali ke Kuala Lumpur untuk bertemu "kawan".

Esoknya aku menaiki bas dari kampungku ke Simpang Pertang,Jelebu,N.Sembilan dan turun di situ untuk menunaikan wang pos di pejabat pos berdekatan.Sebaik selesai aku pun menanti bas ke Seremban.Tiba di Seremban pada petangnya aku mencari pondok telefon dan mendail nombor telefon yang diberi.Satu suara menyahut panggilanku dengan nada lembut dia menjawab salamku.Bersahaja suara itu sambil perkenalkan dirinya Maz...Tiba -tiba suaraku jadi sedikit getar dan tersekat.Kudengar M ketawa kecil di hujung talian.Aduuuuuhhhhh...Aku maklumkannya aku akan naik bas dari Seremban ke Kuala Lumpur petang itu dan akan bertemu dengannya esok pagi..(tak ingat hari).

Senja itu aku tiba di Kuala Lumpur dan terus ke Masjid Ar-Rahman,Jalan Pantai Baru.Malam selepas isyak ingatan ini menggamit kembali untuk mendail nombor si gadis.Aku cari pondok telefon berdekatan dengan rumah sewaan rakanku di perumahan setinggan di belakang bangunan TM ,Jalan Pantai Baru.M segera menjawab panggilan dan bermulalah episod perancangan untuk esok harinya.Kukhabarkan kepada M ,bahawa aku akan membantunya untuk mencari pusat perubatan alternatif bagi mengurangkan kesakitan yang dihidapinya.Tidaklah serious tapi tak pernah hilang katanya.Aku hanya ingat satu pusat perubatan al-Arqam di Desa Minang ,Gombak.Tapi sebelum untuk ke sana kuberitahu M agar mengajak temannya.Sebolehnya aku tidak mahu berduaan dengan M...(seganla).M setuju dan sememangnya sepupunya bersedia menemaninya.

Baru kutahu....sebenarnya M mempunyai ramai saudara mara di sekitar Kg.Keramat.Kebanyakanya aktif berniaga ada kedai makan dan pakaian.Jadi kerisauan yang sedikit menjengah hatiku terjawab.M sendiri tinggal bersama sepupunya di premis perniagaan penjagaan rambut (wanita).Kata M kadangkala dia membantu sepupunya menguruskan perniagaan.Dan M sendiri ada kemahiran merapikan rambut  di kedai tersebut..mmmmm.Perbualan sedikit mesra.Adakala terhenti...bukan kerana kehabisan kata tapi tergamam rasa.Aku rasa aku akan menyukai gadis ini.

Walau bagaimanapun ...esok (awal tahun 1991) adalah harinya.


Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...