27 October 2017

1984 : Perjalanan diri.



Hujung Disember 1983, aku menggalas beg berwarna kelabu. Menuju ke perhentian bas di luar kampong yang jaraknya lebih kurang 200 meter dari rumah. Kampung ayahku berdekatan dengan jalan besar antara pekan Simpang Pertang dan Simpang Durian, Jelebu Negeri Sembilan. Aku ditemani ayah yang menghantar aku ke situ. Akulah satu-satunya anak kampong ayahku yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi (diploma). Waktu itu orang kampong sudah tahu aku belajar di mana dan mereka menghormati aku. Jauh dalam hati, aku tahu ayahku juga turut berbangga kerana kejayaan yang aku sedang nikmati ketika itu. Sejak kecil ayah selalu menemani ku menghantar aku ke sekolah dengan basikal. Aku masih ingat ketika darjah satu aku duduk di belakang sementara ayah mengayuh basikal jenama Hercules.

Kini aku sudah remaja berusia 18 tahun. Aku belajar di negeri orang. Sudah pandai membawa diri dan mengurus diri sendiri.Ayah pasti bangga kerana penat lelah memberiku peluang belajar  sewaktu kecil telah berbalas.Namun ada rentak rasa yang tidak indah membisik di dalam hati bila memandang wajah ayah.Mungkin ayah terkilan kerana tidak dapat memberikan persediaan yang terbaik untukku.Ya soal wang saku.Aku hanya pergi meneruskan pelajaran hanya dibekalkan sebanyak RM50.00 untuk tambang dan makan.Aku faham kenapa.

Ayah baru pencen dari perkhidmatan kerajaan dan wang pencen sementara yang diterima sebanyak RM172.00 sebulan saja.Dengan wang sebanyak itu, ayah terpaksa menyara kami sekeluarga seramai 10 orang.Ketika itu pihak bekas majikan masih meneliti fail perkhidmatan ayah kerana  ayah memasuki askar ketika tahun 1963 dan rekod perkhidmatannya tidak dikemaskini sebaik-baiknya.Aku pasrah.Aku tidak pernah menunjukkan rasa tidak puashati.Aku tahu kesusahan ayah.Pergilah aku meneruskan pendidikan seni dengan berbekalkan RM 50.00 saja.

Aku akan membalas segala jasa ayah satu hari nanti.Aku tidak memikirkan sangat tentang wang kerana di ITM, segala makan minum ditanggung sepenuhnya oleh pihak itu.Samada rajin atau tidak saja berjalan menuju  dewan makan di Kolej Seroja yang jarak lebih 300 meter itu.Cuma yang merisaukan ialah barang-barang keperluan stationary untuk melukis dan menulis.Harga barang keperluan pembelajaran agak mahal.Aku pernah mencari alatan melukis sekitar Kuala Lumpur memang mahal harganya.

Setelah bas sampai pagi itu aku pun memohon pergi dari ayah yang setia menunggu.Ayah menasihatiku supaya rajin belajar.Aku menaiki bas United dan fikiran mula melayang-layang.Suasana kehijauan belukar di kiri kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepadaku.Aku akan menuju ibukota Kuala Lumpur dan selepas itu berebut-rebut dengan penghuni kota untuk ke Shah Alam di Bas Stand Klang.Ketika itu aku tidak lagi terperangkap oleh rasa rindu meninggalkan keluarga.Aku sudah lali, lagipun jarak kampong di Negeri Sembilan dan Shah Alam bukan jauh sangat.Kalau balik pada pagi hari, waktu tengahari sudah tiba di kampong.Berbanding sewaktu tinggal di Pengkalan Hulu, Perak dulu.

Aku akan meneruskan belajar ke sem 2, tahun 1984.Semester terakhir bagi pelajar sebelum diserapkan ke jabatan seni mengikut kecenderungan dan keputusan ujian semester masing-masing.Aku masih lagi kabur.Aku meminati Seni Halus (fine arts) namun kata rakan-rakan aku pandai mengeksplotasi warna-warna.Aku bijak bermain dengan warna.Agaknya betul juga kerana seorang pensyarah pernah memuji teknik pemisahan warna sewaktu aku melukis warung mamak di ruang gelap dan cerah warung itu, walaupun menggunakan warna yang sama.Jadi bidang grafik lebih sesuai untukku.Namun aku terima apa saja keputusannya nanti di hujung semester nanti.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...