28 November 2017

Senoi Praaq : Sejarah Penubuhan.

Penubuhan Senoi Praaq ini telah bermula di penempatan Orang Asli Batu 12 Gombak, Selangor pada 16 hb Mac 1955 di mana anggota  pertama terdiri dari sepuluh (10) pemuda orang asli dari suku kaum Orang Asli Semai yang berasal dari Perkampungan Orang Asli Kuala Mensoon, Cameron Highland, Pahang Darul Makmur. Nama-nama mereka adalah seperti  berikut:

1.        Mohd Nor Bin Abdullah @ Bah Ayob
2.        Abdul Kadir Bin Abdullah @ Bah Kati
3.        Yok Juntai Anak Pak
4.        Rami Anak Perlong
5.        Abdul Shukor Bin Abdullah @Bah Sidap
6.        Bah Tangga Rahamat
7.        Busu Anak Garah
8.        Bah Panggal Anak Kela
9.        Pak Ngah Anak Pak Kawos
10.      Mat Ali Anak Bah Ting.

            Kebanyakan  mereka ini adalah bekas pengganas komunis itu sendiri yang berpaling tadah dan menuntut bela atas kematian saudara-saudara mereka yang dibunuh oleh pengganas komunis dan ada juga yang ditangkap dan menyerah diri. Kekuatan ini bertambah menjadi tiga puluh (30) orang dan mendapat latihan peperangan di hutan khususnya untuk menentang pengganas komunis oleh pasukan  ke  22 Special Air Service (SAS) Britain. Pasukan ini diberi penghormatan  oleh SAS dengan memakai “Red Beret.”

            Pada bulan Mei 1956, pasukan ini telah dibesarkan menjadi  empat (4) seksyen yang terdiri daripada sepuluh orang (10) setiap seksyen berjumlah empat puluh orang (40) dan berikutan itu memandangkan kejayaan demi kejayaan pada tahun 1958 yang dicapai begitu cemerlang kerajaan British telah bersetuju memperbesarkan pasukan ini menjadi empat skuadron dengan kekuatan  256 orang pada 15 Mei 1959. Pasukan Senoi Praaq telah mengambil tugas sepenuhnya tugas pasukan SAS dan diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Orang Asli  (JOA) dan ditempatkan di kem Wardieburn Kem Setapak. Pada Mac 1968 ianya diletakkan di bawah perintah Polis Diraja Malaysia dan dikenali sebagai Battalion 19 Pasukan Polis Hutan yang berpengkalan di Kroh, Perak. Sekarang Pengkalan Hulu.

Pada 11 September 1978 sebuah lagi battalion Senoi Praaq ditubuhkan dan dikenali sebagai Battalion 20 Pasukan Polis Hutan berpengkalan di Sungai Siput Utara, Perak dengan kekutan 3 kompeni dan 2 kompeni berada di Kroh, Perak. Pada bulan Disember 1983, kem Bidor, Perak siap sepenuhnya, semua pegawai dan anggota ditempatkan di kem baru secara berperingkat dan selesai sepenuhnya pada 8 Februari 1984. Pada tahun  1993, Battalion 20 Senoi Praaq dikenali sebagai Battalion 3 PPH dan Battalion 19 dikenali sebagai Battalion 18 PPH. Sekarang ditukarkan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pada permulaannya tugas-tugas yang dijalankan oleh pasukan Senoi Praaq ialah bertindak memenangi hati masyarakat orang asli supaya berkerjasama dengan British dan mengawal kampung-kampung mereka daripada dicerobohi pengganas komunis. Pasukan itu telah diberi latihan dengan segala ilmu muslihat peperangan di hutan di samping turut bersama-sama pasukan ke 22 SAS Regiment membuat operasi tinjauan dan gerakan memburu pengganas komunis. Pasukan Senoi Praaq kemudiannya telah mengambil alih pedalaman setelah pasukan SAS Rejimen pulang ke negara asal mereka pada  15hb Mei 1959.

Sebagai mengenang jasa dan keakraban dengan pasukan Senoi Praaq ini, pasukan SAS Rejimen British  telah mentauliahkan beret merah yang dipakai oleh rejimen itu kepada pasukan Senoi Praaq dan Beret Merah ini masih menjadi kemegahan pasukan Senoi Praaq sehingga ke hari ini.

            Berikut adalah senarai nama pegawai  dan anggota pertama menerima  Beret Merah pada tahun 1958:-

        1.        Supt.G/3929 Syed Zainal Abidin Ali Al-Sagof
        2.        Dsp Ibrahim Khan Bin Rahman Khan (Meninggal Dunia)
        3.        Asp Bakar (Meninggal Dunia)
        4.        Asp Mohamad Nor Bin Abdullah
        5.        Asp Ramli Bin Mohd Said
        6.        Asp Siramuthu
        7.        C/Insp.Ngah Nordin Bin Aseh
        8.        C/Insp.Alias Bin Panglima Berantai (Meninggal Dunia)
        9.        C/Insp.Ali Kenchong (Meninggal Dunia)
        10.      C/Insp.Akoh Bin Long (Meninggal Dunia)
        11.      S.I Giben (Meninggal Dunia)
        12.      S.I.Mat Johan Bin Abdullah (Meninggal Dunia)
        13.      Sm Abdul Bin Abdullah
        14.      Sm.Bah Tangga (Meninggal Dunia)
        15.      Sm. Angah  (Meninggal Dunia)
        16.      Sjn Yam Bin Buchan (Meninggal Dunia- 2005)    - bapa penulis.
        17.      Sjn.Rami
        18.      Sjn.Bah Lichin (Meninggal Dunia)
        19.      Sjn Jackson A/K Tawang (Meninggal Dunia)
        20.      Sjn.Akau
        21.      Sjn Alok A/K Jemberang (Meninggal Dunia)
        22.      Kpl Alin Asoi (Meninggal Dunia)
        23.      Apc Orek (Meninggal Dunia)
        24.      Apc Bah Pinang. (Meninggal Dunia)    

Semenjak penubuhannya, pasukan Senoi Praaq telah berjaya mengawal perkampungan orang asli serta mematahkan usaha PKM di kawasan pedalaman. Dari 1959 sehingga tahun 1978, pasukan Senoi Praaq telah berjaya membunuh seramai 15 orang pengganas komunis dan menawan enam puluh dua (62) anggota dan penyokong mereka di dalam pelbagai gerakan di negeri Perak, Pahang dan Kelantan.                    

23 November 2017

1984 : Kembara Seni.

Sebagai anak muda yang baru berusia 18 tahun dan naif berkaitan persoalan kehidupan, aku menurut saja kata-kata orangtuaku.Menaiki bas dari kampong ke pekan Kuala Pilah.Dari Kuala Pilah menaiki bas United berwarna merah menuju ke bandar Seremban.Setiba di Seremban, memilih bas ekspres SKS untuk menuju ke Kuala Lumpur.Itulah yang diberitahu.Sebelum ini sewaktu ayahku masih bertugas di utara tanahair, aku berulang alik dari kem PPH di Kroh (Pengkalan Hulu) menaiki bas Setia Ekspres menuju ke ibu kota terus menerus dan berhenti di perhentian terpilih tanpa menukar bas.Inilah pengalaman pertama aku kembali ke ibu kota dari kampong di Jelebu , Negeri Sembilan.

Tidaklah sukar mencari bas walaupun pekan Kuala Pilah dan Seremban asing bagi ku pada waktu itu.Setiba di Pudu Raya di ibu kota, aku berjalan kaki menyelinap antara penghuni kota yang bertali arus ke  perhentian bas Stand Klang.Inilah pengajaran penting untuk ku dalam menyelesaikan masalah kecil dalam kehidupan remaja.Semuanya diputuskan sendiri tanpa bantuan sesiapa.Pengajaran ini menjadi pengalaman dalam menguruskan kehidupan seterusnya.Dari situ ke  perhentian bas Kelang menaiki bas Sri Jaya menuju ke Sekyen 2, Shah Alam.

Kembali ke ITM Shah Alam, terus saja aku ke asrama Kolej Jati dan menuju ke dorm di tingkat 5.Aku mendapati bilikku telah dihuni oleh pelajar lain.Rakan kepada rakan sebilik denganku.Pelajar dari Sabah dan kedua-duanya dari course yang sama.Mereka meminta aku mengambil tempat di bahagian luar bersama Azmi.Permintaan mereka walaupun secara lembut telah sedikit menyinggung perasaanku.Namun aku pasrah dan beralah.Memandangkan Azmi kawan serumah juga pelajar perakaunan yang sudah 2 sem menghuni di bahagian lobi.Sekurang-kurangnya aku mempunyai teman berbicara.

Aku memilih katil berdekatan tingkap dan meja tulis ku di tepi dinding di bahagian kepala.Sementara almari pakaian jauh sedikit dari katilku. Rakan baik sekuliahan, Sariman belum lagi tiba dari kampungnya.

Untuk hari-hari seterusnya di situlah aku berkarya dan menyelesaikan beberapa assignment yang diberikan pensyarah.Awal 1984, merupakan part 2 dalam setahun di Kajian Senilukis dan Senireka, Institut Teknologi Mara.Masih dalam peringkat pra senilukis sebelum kami diserapkan ke jabatan seni atau art department pada semester seterusnya berdasarkan kecenderungan dan markah yang diperolehi di akhir peperiksaan akhir sem nanti.

            Aku berminat dalam karya Seni Halus tetapi dalam masa yang sama tertarik dengan kerja-kerja grafik senior terdahulu.Kreatif dalam penghasilan karya yang agak teknikal walaupun ketika itu karya-karya grafik terhasil secara manual dan terhad dari segi penggunaan medium, tidak seperti era ICT.Sungguh, aku tersangat teruja untuk terus mendalami bidang senilukis dan senireka kerana dapat merasakan jiwaku sealiran dengan calitan indah warna-warna yang terpapar.Aku sentiasa mengintai calitan dan lakaran skesta berbingkai yang terletak di foyer pintu masuk.Indah.


            Maka bermulalah mainan kata-kata puitis terabadi berbentuk sajak dan puisi di atas board lukisan diperbuat daripada kayu lapis 2 x 2 kaki.Papan lukisan itu memang menjadi sasaran pelajar-pelajar untuk melepaskan skil dan perasaan dengan nukilan sajak dan lirik-lirik lagu yang menjadi siulan dan popular pada masa itu.Aku tidak terkecuali.Lagu Yesterday dan And I Love Her oleh The Beatles.Monolog hati yang merindui seseorang.


Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...