21 January 2018

Menulis

Sebatang round brush bersaiz lima di jari sedang meratakan warna hijau bercampur beberapa titis air di atas palette lalu membentuk warna sap green yang nipis. Disapu perlahan di atas kertas kasar putih buku sketch water color untuk membentuk dedaunan pohon sena yang berjurai. 

Bila berus lembab itu menyentuh kertas, alam menjadi senyap. Sepi mula menyelimuti diri. Hanya terdengar bunyi geseran daun-daun disapa angin bertiup lembut. Melambai-lambai. Kedengaran suasana mencipta lagu dan puisi. Terlukislah warna-warna alam menuruti jejari sang pelakar. 

Telinga Johan menangkap lagu-lagu alam itu ketika ia sedang riang bernyanyi. Besiulan-siulan dalam ritma yang syahdu. Sebuah persembahan orkestra alam yang menghiburkan. Melagukan dalam melodi yang bertempo perlahan sambil mengiringi catan warna kehijauan. Stroke pigmen hijau yang menyegarkan itu diharmonikan dengan warna biru langit yang nipis lalu menghasilkan tona yang  indah dipandangan. 

Disapu lembut selembut sentuhan jiwa yang tenang. Pigmen langit yang biru nipis atau cobalt blue diserasikan pula dengan payne’s gray  membentuk tompokan awan hitam kelabu. Gambaran awan mendung menyimpan hujan. Rangkuman irama dan motif terlukis dalam nuansa imiginasi Johan. Mata hatinya terus dihujani ilham. 

Tiba-tiba jari Johan terhenti dari terus menompok awan. Stroke  awannya memudar tidak keruan. Tidak menjadi. Hatinya diketuk resah. Perasaan mula menjadi gundah. Lagu merdu yang tadi riang bernyanyi telah hilang sudah. Perhatiannya kepada objek awan kelabu itu mengajak fikiran mengimbas mimpi malam tadi. 

Tenang jiwa kini mendung pula mengganti. Fokus telah berpecah arah lalu berus setengah inci sederhana itu diletak kasar masuk ke bekas berisi air. Pandangan dilemparkan jauh menjangkau. Di balik bukit berjejeran kebiruan di situ hati membentuk kerinduan. Rindunya kepada ibu.


“Apa khabar ibu..?”, bisik hati kecilnya dalam dalam nada perlahan.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...